Sejak dari kecil, aku memang minat main bola sepak. Masa sekolah rendah, aku hanya terpilih untuk wakil sekolah semasa aku darjah 6. Selepas itu, aku mula bergiat aktif dalam sukan bola sepak bermula dari tingkatan 1 sampai tingkatan 3. Posisi aku sejak azali adalah left wing. Aku bernasib baik sebab dapat main dengan pasukan yang sangat mantap bagi aku.
Player paling aku minat adalah kawan aku sendiri yang bermain di posisi right wing. Komunikasi antara kami dua memang baik semasa dalam padang dan kami saling memahami walaupun kedudukan kami jauh. Pasukan kami selalu menyerang melalui sebelah kiri ataupun kanan padang, bukannya tengah. Bila aku tak boleh serang, aku akan cross bola kepada kawan aku di sebelah kanan padang. Begitu juga dengan dia. Striker hanya tunggu bola dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol.
Sampai suatu ketika, aku dengan kawan aku (right wing) telah dipilih oleh jurulatih bola sepak sekolah untuk pergi ke pemilihan bola sepak Daerah Kuala Muda. Ramai wakil daripada sekolah-sekolah yang berada di Daerah Kuala Muda datang untuk pemilihan. Semuanya nampak mantap-mantap belaka. Tapi jurulatih aku pesan, kita kena yakin pada diri sendiri. Peluang takkan datang 100% kepada kita. Aku dengan kawan aku pun ikut serta pemilihan tersebut.
Alhamdulillah, aku dengan kawan aku terpilih untuk mewakili Daerah Kuala Muda dan akan bermain di peringkat negeri Kedah. Sebelum ke perlawanan peringkat negeri, kami akan buat latihan setiap hari di tempat yang sama semasa pemilihan dijalankan. Sehari sebelum perlawanan, kami buat latihan untuk kali terakhir.
Pagi itu, sebelum membuat latihan, jurulatih daerah telah berpesan kepada pasukan kami apabila balik rumah nanti, kemas barang-barang yang perlu untuk dibawa esok. Semasa kami buat latihan, aku nampak ada seorang cikgu dengan 2 orang anak muridnya datang dan bercakap dengan jurulatih daerah. Kemudian jurulatih daerah memanggil kami semua untuk menamatkan sesi latihan pada hari itu. Sebelum beliau lepaskan kami balik rumah, beliau telah buat senarai pemain-pemain yang akan bermain esok.
Alangkah terkejutnya aku bila nama aku dengan kawan aku tiada dalam senarai. Rupa-rupanya nama kami telah digantikan dengan pemain yang baru datang dengan cikgunya tadi. Aku marah sangat sebab semasa pemilihan diorang tak datang pun. Tiba-tiba datang terus boleh main. Mana adil. Kawan aku pun naik angin dan kami terus balik rumah. Malas nak ambil kisah. Kiranya posisi kami sebagai right and left wing digantikan dengan diorang.
Masa perlawanan bola sepak peringkat negeri, kawan aku pergi tengok dengan kawan-kawan dia yang lain. Aku memang takkan pergi tengok. Kawan aku beritahu aku yang Daerah Kuala Muda kalah awal lagi dan semasa dia nak balik, dia terserempak dengan jurulatih bola Daerah Kuala Muda. Beliau minta maaf sebab singkirkan kami dan pesan kepada kawan aku untuk datang wakil Daerah Kuala Muda pada tahun depan. Beliau suruh ajak aku sekali. Tapi kawan aku buat tak tahu saja sebab kecewa sangat dengan beliau. Penat-penat kami datang pemilihan dari awal sampai habis, senang-senang saja dia singkirkan kami kerana cikgu yang datang dengan 2 orang muridnya itu kata yang kami ini tak pandai main bola. Kalau main pun asyik kalah saja.
Sampai sekarang aku semakin tawar hati untuk main bola sepak. Kalau nak main pun, untuk suka-suka saja. Samalah dengan kawan aku. Biarlah kenangan lampau jadi sejarah dan pengajaran kepada aku. :-)
Categories:
Pengalaman
